Layang-Layang, 31 Mei 2025 – Hari ini menjadi satu detik bermakna buat warga KLDSB apabila seramai 41 penerima rasmi telah menerima Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR) bagi Projek Perumahan Taman Permata Layang, yang dibangunkan sepenuhnya oleh Kejora Land Development Sdn. Bhd. (KLDSB) – anak syarikat KEJORA.
Projek ini adalah bukti nyata keupayaan KLDSB dalam melaksanakan pembangunan berkualiti tinggi yang berpaksikan rakyat. Siap sepenuhnya dan memperoleh CCC pada Mei 2025, projek ini merangkumi 125 unit rumah banglo dan 7 unit kedai, menjadikannya antara projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang paling unik dan komprehensif di negeri Johor.
Menariknya, semua unit di bawah dasar kerajaan seperti PKJ A, PKJ B dan RMMJ adalah rumah jenis banglo setingkat, dibina di atas lot individu berkeluasan antara 2,800 kps hingga hampir 5,000 kps — menjadikan impian memiliki rumah yang luas, selesa dan bebas banjir satu kenyataan untuk penduduk luar bandar.
KLDSB amat menghargai kepercayaan dan kerjasama erat bersama Kerajaan Negeri Johor, KKDW, KEJORA, Pejabat Daerah Kluang dan semua agensi teknikal yang telah menjayakan projek ini dari awal sehingga ke hari penyerahan.
Kami percaya, kejayaan projek ini bukan sekadar membina infrastruktur, tetapi membina nilai hidup dan kestabilan jangka panjang buat masyarakat desa. Kami akan terus komited untuk menerajui lebih banyak pembangunan berimpak tinggi seperti ini di masa akan datang.
Terima kasih kepada semua yang telah bersama kami dalam perjalanan ini. Taman Permata Layang kini bukan sekadar perumahan ia adalah simbol kemajuan luar bandar yang sebenar.




